Followers

Saturday, January 8, 2011

Pengalaman itu membawa aku ke sini.......

             Pengalaman mengajar dan mendewasakan kita dalam pelbagai aspek. Itulah kata-kata yang aku pegang setiap kali aku mencuba atau menghadapi sesuatu perkara baru. Aku sedar bahawa jika aku menghadapi sesuatu perkara baru, aku akan cepat gelabah, gementar, kekok serta mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan situasi yang baharu itu.
            
             Selepas mendapat keputusan UPSR, aku telah mendapat tawaran daripada guru besar di sekolahku untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah menengah agama di Sandakan. Memandangkan aku telah mendapat keputusan yang agak cemerlang, iaitu 3A 1B 1C , aku pun gembiralah untuk menerima pelawaan tersebut. Namun, atas desakan arwah nenekku, aku terpaksa menolak hasrat dan tawaran tersebut. Alasannya, arwah nenekku itu tidak mahu untuk tinggal berjauhan daripadaku dan mamaku pula hanya mengiyakan sahaja kata-kata nenekku.
           
              Kemudian, aku meneruskan pengajian ke tingkatan 1 aliran agama  di Sekolah Menengah Kebangsaan Beluran Bestari. Sekolah itu berada dekat sahaja dengan tempat tinggalku. Aku belajar dengan bersungguh-sungguh. Hasilnya, sekali lagi aku mendapat keputusan yang cemerlang pada PMR. 8A 1C. Aku sungguh gembira pada waktu itu. Mamaku dan guru-guruku sungguh berbangga dengan kejayaanku. Dan sekali lagi aku mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh. Namun, sekali lagi aku kecewa kerana pada kali ini, mamaku pula yang tidak membenarkan aku melanjutkan pelajaran ke sana. Alasannya pada kali ini adalah pada pendapat mamaku, belajar di mana-mana pun sama juga, yang penting usaha. Jadi, aku pun menurut sahaja kata-kata ibuku.
            
               Aku pun meneruskan pengajian di sekolah lamaku. Seperti biasa, aku belajar dengan bersungguh-sungguh. Tetapi, pada kali ini, aku kurang berpuas hati dengan keputusanku. Pada SPM 2008 yang lalu, aku mendapat 4A 2B 4C 2D. Aku tidak tahu mengapa keputusanku  sedemikian rupa. Mungkin sebab berada dalam aliran sains agama ini tidak semudah yang di sangka. Namun, aku tetap berpuas hati kerana namaku turut tersenarai antara pelajar terbaik sekolah.        
           
               Sesudah SPM, aku memohon untuk Matrikulasi, UPU, dan Maktab . Tetapi  sungguh tidak ku duga, semua permohonanku tidak dapat. Mungkinkah ini adalah balasan atas semua tawaran yang aku  dapat  tetapi aku tolak selama ini?
           
               Akhirnya, aku mendapat tawaran ke tingkatan 6 aliran sains di SMK.Sandakan Bestari. Sekolah itu terletak agak jauh dari tempat  tinggalku,lebih kurang 90 km. Kali ini, mamaku merelakan aku belajar di sekolah itu kerana hanya itu sahaja peluangku yang terakhir. Di sekolah itu, aku tinggal di asrama. Aku yang selama ini tidak pernah tinggal di asrama mengalami kejutan budaya di situ.Tak dapat di bayangkan betapa aku tidak tahu untuk tinggal d asrama.Namun, kata peribahasa  sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Secara perlahan –lahan aku belajar dan akhirnya aku sudah biasa dengan kehidupan di asrama. Satu pengalaman berharga yang aku perolehi yang tidak dapat aku lupakan. Berada di asrama adalah satu pengalaman yang mengajar aku untuk hidup berdikari dan menjadi lebih matang.
            
              Kini, aku berada di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya. Aku tidak kekok lagi untuk tinggal di asrama. Hal ini adalah kerana aku sudah mempunyai pengalaman atau bolehlah aku ibaratkan sebagai ‘ilmu’ yang teguh di dada. Aku sudah mampu berdikari dan mampu untuk menyelesaikan urusanku sendiri dengan baik. Benarlah prinsip yang aku pegang selama ini, ‘Pengalaman Mengajar dan Mendewasakan Aku’. Jadilah aku seperti apa aku sekarang. Aku kini mempunyai keyakinan diri dan tidak berasa kekok atau malu lagi dan sudah mampu berdikari sendiri.....  ^_^

2 comments:

  1. Gaya penulisan saudara sangat menarik. Mungkin dapat diselitkan beberapa keping gambar untuk menjamu selera mata. Teruskan usaha!

    ReplyDelete
  2. abg ibrahim : thanx... ^_^ terima kasih atas komennya jgak... ^_^

    ReplyDelete